Pages

About my Blog

Hai Kawan-kawan Novel Cinta Mini! Selamat Datang ke Blog Novel Cik Adriana Adami.Semoga kawan-kawan terhibur dengan cerita-cerita Novel Cinta Mini Cik Adriana Adami. Jika awak semua suka dengan cerita Cinta ini, awak semua boleh lah FOLLOW ya. Apapun, Cik Adriana Adami ucapkan Terima Kasih sudi singgah ke blog ini. Enjoy Your Reading!Tata Titi Tutu!

Monday, 14 November 2011

Puteri Tasik Cinta Ku ~ [2]

          Aidil Iskandar terdiam memandang insiden yang berlaku di depannya. Pagi – pagi lagi, sudah riuh rendah di warong Mak Jan gara – gara abang yang memarahi adiknya. Pasti malu, bila dimarah dikhalayak ramai. Tapi, memang patut adiknya di marah begitu kerana semalaman tidak pulang ke rumah dengan alasan bermalam di rumah kawan. Rupa-rupanya, keluar bersama jantan lain yang sudah tentu bukan muhrim baginya. Dah la tu, tidur rumah jantan tu jugak. Budak...budak...

Aidil Iskandar menarik nafas panjang. Dia hanya merenung melihat semua yang berlaku di hadapannya. Hatinya berdoa agar dipermudahkan urusan lelaki itu dalam menjaga kehormatan adik perempuannya sendiri.

Bersabarlah wahai hati dalam menjaga keselamatan adik mu dunia dan akhirat. Usah kau berputus asa seperti aku, Aidil Iskandar berbicara sendiri dengan hatinya. Tak mungkin dilupakan saat diherdik dan di hina adik kandungnya sendiri. Aidil Iskandar mengeluh panjang.

“Suka hati Nora lah nak pakai tudung ke tidak! Siapa abang nak menyibuk dalam hal Nora?,” amarah Nora semakin melonjak – lonjak bila ditegur Aidil Iskandar agar memakai tudung.

“Siapa abang? Abang adalah abang kau, Nora. Dosa kau, berdosa lah abang.” Semakin keras dan tinggi suara Aidil Iskandar.

“ Dosa  Nora biar Nora yang tanggung. Abang tak payah nak menyibuk. Lagipun, suami Nora tak kisah pun. Abang nak bising – bising pulak, apahal?,” Nora semakin merenung tajam abangnya yang tak sudah – sudah membebel hal aurat. Hari ni, aku tak boleh tahan lagi dah.

“Abang tahu Nora dah kahwin, dah bersuami. Jika suami Nora tak tegur, biar abang yang tegur. Bukan setakat abang je yang dosa. Malah, suami Nora juga.”

Aidil Iskandar cuba berlembut memujuk dan menyedarkan Nora akan kata – katanya tadi.

“Abang! Abang jangan nak berlagak alim lah bang. Abang sendiri gagal dalam perkahwinan. Ada hati nak sibuk jaga rumahtangga orang. Diamlah.”

Nora terus memalingkan mukanya dan terus melangkah pergi.

Aidil Iskandar terdiam kerana terpukul dengan kata – kata adik perempuannya.
“Jangan nak betulkan orang lain selagi diri sendiri tak betul. Kalau nak ceramah, pergi daftar diri jadi penceramah bebas. Memang patut pun gagal jadi arkitek berjaya.” Nora berasa puas memarahi abangnya yang selalu berceramah tentang agama.

Aidil Iskandar mengeluh panjang. Segala peristiwa itu masih terngiang – ngiang di mindanya. Entah apa khabar dengan adik ku yang seorang tu. Dah lama rasanya aku tak pulang ke kampung. Airis sahaja tempat aku mengharap bertanyakan khabar emak dan ayah di kampung. Apa pula cerita si Kak Marisya dan juga Haikal ? Aku tak tahulah sampai bila hubungan keluarga aku macam ni. Atas sijil lahir sahaja berbintikan dan berbinkan ayah dan emak yang sama, tapi punya hati dan perangai yang berbeza. Emak dan ayah sama jugak, tidak pernah menyokong aku dalam membimbing ahli keluarga. Ya Allah, berikanlah petunjuk kepada ku Ya Rabb…

“Assalamualaikum bro..” Izhan Teo menyapa sahabatnya yang  makan tapi mengelamun jauh. Di siat – siatnya roti canai di dalam pinggan itu namun tidak pula disuapnya ke mulut.

Aidil Iskandar terperanjat bila terdengar suara yang memberi salam sebentar tadi amat dikenalinya. Oh, mualaf lapuk ni.

Aidil Iskandar menjawab salam sambil menghela nafas yang panjang. Izhan Teo sudah pun duduk berhadapan dengannya.
“Apasal pagi – pagi lagi kau dah ada kat sini ni?” soal Aidil Iskandar yang cuba menutup lamunannya sebentar tadi.

Izhan Teo hanya tersengih memandang sahabatnya yang sering hidup dalam bermenung. Kalau dalam bilik termenung tak tahu lah macam mana, desis hati Izhan Teo.

“Hmm…aku datang bungkus roti canai dan mertabak. Orang rumah aku mabuk, tak boleh nak masak lagi apatah lagi sarapan pagi. Lagipun, dia mengidam nak makan mertabak daging.”
Aidil Iskandar tersenyum dan mengangguk perlahan. Bahagia sungguh sahabat aku ni. Syukur Alhamdulillah. Kekalkan lah jodoh mereka Ya Allah.

“Kau kenapa Dil? Dari tadi aku sampai, aku perhatikan kau asyik main garfu dan sudu mensiat – siat roti canai tu. Tapi tak jugak kau makan. Kau nak jadi doktor ke apa?”

“Hah?...Tak ada apalah Han. Aku ok je. Aku berfikir sekejap hal tadi.” Aidil Iskandar cuba menutup apa yang berlegar di fikirannya.

“Hal apa pagi tadi? Jangan kau kata kau pergi ofis siapkan kerja pulak.”
“Eh, tak lah. Pagi tadi, ada seorang abang yang marah – marah  adik perempuan dia kat sini. Semua orang pandang. Kecoh jugak lah pagi tadi.”
“Kat depan khalayak ramai ni?marah - marah adik? Kan tak senonoh tu, malukan adik di depan khalayak ramai.” Izhan Teo seperti tidak puas hati mendengar cerita itu.
“Eh,kau tak tahu asal usul cerita, jangan terus nak membuat spekulasi Han.”

Izhan Teo terdiam sejenak bila mendengar suara Aidil Iskandar mula tegas. Pasti kata – katanya benar, jika tidak masakan dia tegas.

“Abang mana tak marah jika diajak pulang tapi masih berdegil dan berkasar dengan abangnya. Adik dia tak balik malam tadi, ikut boyfriend. Mengamuk lah abangnya. Abang mana tak sayang adik.” Jelas Aidil Iskandar lagi.

Izhan Teo mengangguk – angguk mengiyakan kata – kata sahabatnya.
“Kalau aku pun mengamuk…”balas Izhan Teo.
"Tau pun kau..." balas Aidil Iskandar sambil menelan cebisan roti canai yang disiat-siatnya tadi.

Pelayan warung makan itu menghantar bungkusan roti canai dan mertabak untuk Izhan Teo di meja makan. Setelah siap berbayar, Izhan Teo meminta izin untuk pulang dahulu kerana memikirkan anak dan isterinya yang sarat mengandung di rumah.

Aidil Iskandar hanya melihat shabatnya berlalu pergi. Bersyukurlah, semoga sahabat aku bahagia hingga ke akhir hayat. Jangan jadi seperti takdir aku.

Sedang Aidil Iskandar menikmati sarapan paginya, tiba – tiba ada suara yang memberi salam kepadanya. Di angkat mukanya memandang wajah suara itu.

“Eh, Faruq…Lama tak jumpa. Duduklah. Kita sarapan sama. Apa khabar sekarang?,”Aidil Iskandar menjemput rakan lamanya sewaktu di kolej dulu.

Faruq tersenyum gembira melihat abang senior di kolejnya dulu. Sekian lama tidak berjumpa.
“Abang macam mana sekarang? Buat apa sekarang ni?,”tanya Faruq yang ingin tahu perkembangan abang seniornya.

“Alhamdulillah, abang sihat. Abang dah ada kerja sekarang ni.Faruq buat apa kat sini? Kerja ke sambung belajar lagi?,”

“Ohh…sekarang belajar lagi. Tahun akhir lah diperingkat ijazah. Saya beli sarapan sekejap untuk kakak saya.  Sekejap lagi nak keluar dengan dia lah ni. Macam mana life abang sekarang bang?Nampak bergaya sekarang ni?,” Faruq senyum dan kagum melihat Aidil Iskandar yang semakin terurus.

“Life abang macam nilah. Bujang senang. Faruq dah tahun akhir lah sekarang ni ye? Nak konvo nanti bagitahu abang lah. Abang nak datang tau.”

“InsyaAllah bang. Abang kerja apa sekarang ni?,”

“Abang dapat bina semula hidup abang dengan dunia arkitek. Abang tak dapat lupakan jasa Faruq dulu tolong abang saat abang betul – betul jatuh terduduk seorang diri. Abang tak kan lupa kan dik.” Bergenang airmata Aidil Iskandar terkenang saat kejatuhannya tanpa belas ihsan dari keluarga sendiri.

“Ishhh..tak ada banyak mana pun saya tolong bang. Relaks lah. Small matter je. Yang penting sekarang, abang dah berjaya meningkatkan keupayaan diri semula. Saya tumpang gembira je bang.” Ujar Faruq lega dengan taraf kehidupan Aidil Iskandar.

“Mana tak banyak nya Faruq. Kalau tak ada Faruq, abang nak menetap kat mana masa abang di kolej dulu? Duit tak ada, tak mampu nak bayar yuran penginapan di kolej. Faruq tak ingat, duit abang hanya ada RM200 untuk bajet tiga bulan? Faruq saja yang simpati pada abang. Orang luar boleh simpati pada abang, tapi keluarga sendiri tak ambil peduli. Isteri pulak dah lari tinggalkan abang…” sayup suara Aidil Iskandar teringat saat kesusahannya dulu.
Faruq menepuk-nepuk bahu Aidil Iskandar agar tenang.

“Sabar lah bang. Semua tu ujian untuk kita. Bila abang berjaya tempuhi ujian tu dan abang bersabar, baru sekarang Allah limpahkan hikmah abang bersabar dengan kejayaan bang.” Tambah Faruq menenangkan Aidil Iskandar yang bersedih mengenang nasibnya dulu.

Aidil Iskandar mengangguk dan tersenyum. Bagaimana budak lelaki muda macam Faruq boleh memahami nasib kesusahan orang lain? Pasti keluarganya mendidiknya penuh ilmu agama dan penuh kesabaran.

“Okaylah bang. Roti canai saya dah siap tu. Saya minta diri dulu lah ye.”
“Eh, biar abang belanja Faruq.”
“Eh, tak payah lah bang. Tak pe, saya ada duit ni.”
“Ni bukan masalah ada duit ke tak. Ni masalah Faruq tu masih seorang pelajar lagi, bukan dah kerja pun. Biar abang bayar. Sebelum ni, Faruq dah banyak kongsi duit belanja Faruq dengan abang,kan. Dah, tak payah banyak cakap.” Aidil Iskandar lantas bangun menuju ke arah Pakcik tuan punya warung tersebut.

“Terima kasih ye bang. Lain kali, belanja lah lagi. Setakat warung ni je, mana best nak ganti balik duit Faruq dulu.” Gelak Faruq bergurau mengenakan abang seniornya.
Aidil Iskandar tergelak besar mendengar usikan adik juniornya.

“Boleh. Apa salahnya. Bagi abang nombor telefon kau. Nombor dah tukar tak bagitahu abang pun.”
“A’ah.Lupa lah bang nak bagi nombor baru. Ni nombor saya…”Faruq tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Terima kasih bang belanja hari ni. Moga bertambah rezeki abang. Jumpa lagi ye nanti.”

Aidil Iskandar bersalaman dengan insan yang banyak menolongnya pada masa lalu. Semoga kau diberkati Allah dan sentiasa mendapat pertolongan dari Allah,dik. Hati kau mulia dan telus. Aidil Iskandar berdoa di dalam hatinya melihat Faruq pergi dan berlalu.

Lantas, Aidil Iskandar pulang ke rumah bujangnya. Apa lagi harus aku buat, hidup membujang. Betul pulak cakap si Izhan Teo ni, sampai bila aku tak nak kahwin dan beristeri. Tapi, hati aku masih tak terbuka untuk sesiapa, Han. Andai aku berjumpa dengan perempuan yang benar – benar terbaik untuk ku di atas pengetahuan Allah. Saat itu pasti terbuka pintu hati aku untuknya dan berkahwin dengannya.

Aidil Iskandar terus memandu laju ke rumah apartment nya….
            ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Sementara mendapat cuti di hujung minggu begini, lebih baik diluangkan masa menonton wayang dan membeli belah di Alamanda. Jarang sekali meraka mendapat cuti di hujung minggu lebih – lebih lagi bekerja ditempat yang menjadi tumpuan orang awam. Seri Qaisarah dan Amoi tidak melepaskan peluang sebegitu. Kebiasaannya, hari mereka bercuti adalah pada hari orang awam bekerja antara Isnin hinggalah ke hari Jumaat.

Jadi, ini lah masanya mereka bersuka ria menikmati hujung minggu di tempat – tempat awam seperti pusat membeli belah.
“ Seri, hujung minggu depan memang kau kena balik Johor ke?” soal Amoi sambil menyedut minuman Cool blognya.

Seri Qaisarah memandang persekitaran pusat membeli belah di Putrajaya itu. Sungguh ramai orang membeli belah di sini. Kebanyakkan nya mereka dari orang yang berada, gumam hati Seri Qaisarah sendirian.

“Woi Seri! Dengar tak aku tanya kau ni?” Amoi geram dengan Seri Qaisarah yang tak endahkan pertanyaannya.
“Aku dengar.Aku tengok pertunjukkan fesyen ni.”jawab Seri Qaisarah pendek.
“Pertunjukkan fesyen? Mana? Mana?”
“Meh Sini, aku tunjukkan kat kau. Best wo…”

Seri Qaisarah terus menarik tangan Amoi mendekati penghadang besi di pusat utama bangunan Alamanda itu. Seri Qaisarah terus memandang ke bawah dari tingkat atas. Apa yang di lihat hanyalah pancuran air di bawah sana dan juga pengunjung pusat membeli belah yang duduk di tepi kolam air pancuran itu.

“Mana ada? Kau tipu aku ke? Air pancut adalah.” Amoi mengeluh bila pertunjukkan fesyen yang dikatakan Seri Qaisarah itu tiada.
“Adalah. Cuba kau tengok dari atas sini, perhatikan setiap orang yang lalu lalang tu. Macam – macam fesyen ada tau. Ada yang pakai tudung macam Yuna lah. Ada yang pakai tudung macam Dato’ Siti lah, ada yang pakai tudung tapi baju seksi.” Jelas Seri Qaisarah sambil memandang ke tingkat bawah.

Amoi tergelak bila pertunjukkan fesyen yang dimaksudkan Seri Qaisarah adalah ragam dan cara manusia berpakaian. Ingatkan pertunjukkan betul – betul lah tadi…Seri…Seri…

“Jom lah Seri. Kita pergi ke sana pulak.” Amoi menarik lengan Seri Qaisarah.
Namun Seri Qaisarah tidak mahu berganjak. Matanya terus tertancap kepada seseorang yang cukup dia kenali. Dia buat apa di sini? Nak dating dengan makwe ke? Bisik hati Seri Qaisarah.
“Woit! Kau tengok siapa ni sampai tak berkelip mata kau tu?” Amoi pelik melihat gelagat sahabatnya.
Seri Qaisarah tidak mempedulikan suara Amoi. Matanya terus memerhatikan lelaki yang berada tidak jauh berhadapan dengannya.

Amoi sudah dapat menangkap makhluk yang diperhatikan Seri Qaisarah. Lelaki ni rupanya. Tidak dinafikan, memang orangnya segak dan kacak. Mana – mana perempuan yang memandangnya pasti tertarik untuk melihatnya. Tetapi, tidak lah sekacak Brad Pitt mahupun Tom Cruise.

“Dahlah Seri. Dia bukan pandang dan kenal kau pun. Buang tahi mata kau je tengokkan dia.” Amoi mengeluh penat menunggu kawannya agar berganjak dari situ.
“Sabar lah. Aku nak tengok dia buat apa kat sini.”
Seri Qaisarah terus merenung Aidil Iskandar yang berlegar – legar di hadapan kedai pakaian berjenama untuk lelaki.
“Mari…ikut aku.” Seri Qaisarah terus menarik tangan Amoi.
“Hoi…kau nak buat apa ni minah oiii?” Amoi terus mengikut rentak Seri Qaisarah.
“Marilah…kita perhatikan dia. Aku nak tahu sangat lah apa masalah dia ni.”
“Eh, minah! Dia berdiri depan kedai baju lelaki tu yang kau katakan dia bermasalah?Apa sengal kau ni Seri”
“Kau ikutje lah. Aku nak cuba jugak rapat dengan dia ni.”
Amoi terus menggaru – garu kepalanya yang tidak gatal. Kini mereka sudah pun berdiri hampir dengan lelaki tersebut.
“Hah, dia masuk kedai dah. Jom lah, ikut aku masuk kedai tu jugak.” Seri Qaisarah terus memaut lengan Amoi. Amoi cuba menepis tangan Seri Qaisarah tapi tak berdaya. Kuat tenaga perempuan ni walaupun nampak ayu.

Seri Qaisarah memerhatikan disebalik kain baju pakaian lelaki yang tergantung – gantung di situ. Dia tetap mencuba menarik perhatian lelaki pengunjung tetap Restoran Impian Puteri itu.
Aidil Iskandar terus memilih pakaian kemeja lelaki fesyen terkini dan nampak kemas. Tanpa disedarinya, Seri Qaisarah sudahpun berada berhadapan dengannya.

Aidil Iskandar terpikat dengan kemeja yang berkolarkan hitam dan corak bajunya berjalurkan biru hitam. Lantas dia cuba mencapai penyangkut kemeja itu. Tanpa diduga, dengan pantas Seri Qaisarah turut mencapai juga kemeja yang sama. Memang Seri Qaisarah sengaja berbuat demikian.

Amoi menepuk dahinya melihat gelagat sahabatnya yang tidak diduga. Aduh, apalah kawan aku nak buat ni. Risau Amoi dibuatnya.

Aidil Iskandar terus memandang insan yang mencapai kemeja yang diminatinya.
“Oppps…awak nak yang ni jugak ke?” Seri Qaisarah memulakan lakonannya.
Berkerut dahi Aidil Iskandar memandang wajah perempuan yang berada di hadapannya ini. Aku macam biasa nampak muka dia ni, tapi tak ingat kat mana, bisik hati Aidil Iskandar.
“Kalau awak nak, awak ambillah. Saya ambil yang lain.” Seri Qaisarah menghulurkan kemeja itu kepada Aidil Iskandar.

Aidil Iskandar terus mencapainya dan berlalu ke bilik percubaan persalinan tanpa sebarang ucap kata berterima kasih.

Terkedu Seri Qaisarah melihat sikap Aidil Iskandar yang tidak langsung mengalah dan terus berlalu pergi tanpa berkata apa pun.

Amoi yang melihat kejadian itu tergelak – gelak besar. Kelakarlah nasib kawan aku sorang ni.
Seri Qaisarah memandang Amoi geram.

“Tak apa, kau gelakkan. Kau tunggu dan tengok apa aku buat.” Seri Qaisarah sudah mencekak pinggangnya menunggu Aidil Iskandar keluar dari bilik persalinan itu.

Beberapa minit kemudian, Aidil Iskandar keluar dan berjalan ke arah kaunter pembayaran.
Namun, Seri Qaisarah sempat menghalang Aidil Iskandar dengan berdiri di hadapannya. Aidil Iskandar tergamam bila perempuan yang sama berdiri menahannya. Amoi memerhatikan terus dengan apa yang bakal berlaku.

“Maaf ye. Atok saya nak jugak baju ni. Thank you.” Seri Qaisarah terus berlalu pergi dan berlari ke arah kaunter pembayaran.

Terkedu Aidil Iskandar dengan tindakan gadis tersebut. Ditariknya nafas sedalam yang mungkin.

Amoi terus mengangkat doa kerana Seri Qaisarah tidak membuat perkara yang lebih teruk lagi.Tapi…atok nak pakai kemeja mahal macam tu? Biar betul kau ni Seri….
Bila berada di kaunter pembayaran, Seri Qaisarah meletakkan baju kemeja yang dirampasnya itu tadi.

“RM115.00,cik” juruwang memberitahu harga kemeja tersebut.

Terlopong mulut Seri Qaisarah. Namun dengan pantas dia menutup semula mulutnya agar jangan menunjukkan sangat dia terperanjat.

“Kau ada duit tak?” Amoi gelisah melihat Seri Qaisarah terkais – kais mencari duit di dalam beg selimpangnya itu.

“Ada. Kau jangan bikin aku malu.” Seri Qaisarah terus menyerahkan duit bernilai RM115.00 itu kepada juruwang.

Aidil Iskandar hanya memerhatikan gelagat perempuan yang selamba mukanya merampas kemeja yang diminatinya. Dasyat perempuan ni. Tak ada bahasa agaknya, gumam hati Aidil Iskandar.

“Jom. Kita dah sudah.” Seri Qaisarah terus menarik tangan Amoi sambil beredar keluar dari kedai itu. Mereka lalu di hadapan lelaki yang langsung tidak berbahasa dan mengalah dengan perempuan.

Setelah keluar dari kedai itu, Amoi terus menarik tangannya dari Seri Qaisarah.

“Apa kena dengan kau ni Seri? Gila ke kau beli baju beratus tu? Kau nak buat apa? Aduh,kawan aku ni…” Amoi membebel tidak faham dengan kerenah kawannya yang diluar jangkaan ini.

“Aku geram lah. Aku saja je berbahasa basi dengan dia tadi. Tapi, dia langsung tak ada bahasa dengan aku. Kau tak nampak ke tadi, dia terus ambil kemeja dari tangan aku, tak ada cakap apa pun. Senyum pun tak. Hampeh betul bahasa dia!” Seri Qaisarah meluahkan rasa geramnya pada Aidil Iskandar.

“Kau nak dia cakap apa? Lagi pun, kau jugak yang hulur pada dia tadi,kan.”
“Memang lah, tapi aku berbahasa je. Tak sangka pulak dia langsung tak bercakap apa pun. Dia terus bla macam tu je. Sakitlah hati aku.”
“Atok kau memang nak sangat ke baju kemeja ni? Mahal pulak tu. Kau sedar tak, tak pasal – pasal kau dah habiskan beratus ringgit pada sehelai baju je.” Amoi sambung membebelkan Seri Qaisarah.
“Atok aku tak nak sangat pun baju ni.Dah arwah dah pun.Aku saja, sakit hati punya pasal.” Rungut Seri Qaisarah. Amoi tergelak mendengar rungutan Seri Qaisarah. Ada ke, atok dia yang dah arwah pun dilibatkan sama dengan lakonannya. Tak senonoh betul kawan aku ni.

Mereka terus menuju ke panggung wayang untuk menonton filem seram yang terbaru. Amoi hanya menggelengkan kepalanya memikirkan keletah kawannya yang sukar dibaca pemikirannya.

Dalam hati Seri Qaisarah, dia terfikir – fikir bagaimana caranya untuk mendekati lelaki bermasalah itu. Dia ingin sekali mengetahui kisah hidup lelaki tersebut hingga lelaki itu boleh berhari – hari termenung di restoran tasik itu.

Setelah satu jam setengah mereka menonton filem seram, mereka terus keluar dari bangunan pusat membeli belah Alamanda di Putrajaya itu. Mereka berdua datang dengan menaiki teksi, maka pulang pun dengan teksi lah.

Sedang mereka berjalan ke arah tempat perhentian teksi di bawah bangunan Alamanda itu, tiba – tiba sebuah kereta yang laju hampir terlanggar mereka berdua yang sedang melintas di laluan kereta keluar.

Air minuman Seri Qaisarah tersimbah di atas but kereta Honda Accord 1.8 berwarna hitam metallic itu akibat terperanjat.

Kedua – dua pasang mata Seri Qaisarah dan Amoi memerhatikan kereta yang ingin melanggar mereka berdua berhenti mengejut di hadapan mereka. Mereka cuba memandang pemandu di dalam kereta mewah tersebut, namun tidak berjaya kerana kereta itu bercermin gelap.

Aidil Iskandar menarik nafas panjang lega kerana dia tidak terlanggar dua nyawa di hadapan keretanya. Tapi…perempuan ni lagi? Detik hati Aidil Iskandar. Patutnya aku langgar je perempuan tak ada bahasa ni, desis hati Aidl Iskandar geram dengan insiden di kedai tadi. Kemudian dia keluar dari keretanya, untuk melihat tiada sebarang kecederaan berlaku.

“Hah! Dia?!!!” terjerit sikit suara Seri Qaisarah bila melihat pemandu yang keluar dari kereta tersebut adalah lelaki restoran itu.
Terlopong mulut Amoi melihat lelaki yang sama berlaku hari ini. Ini jodoh engkau ke Seri, bisik hati Amoi.

Aidil Iskandar hanya berdiri di tepi pintu keretanya tanpa berkata apa – apa memandang dua orang perempuan yang sama di kedai tadi.

“Awak buta ke apa? Nak bunuh orang? Bawa laju – laju tempat macam ni. Gila!” Seri Qaisarah marah sambil mencekak pinggangnya. Air minumannya ditangannya diserahkan ke tangan Amoi.

Aidil Iskandar hanya memandang dari atas ke bawah kedua – dua budak perempuan yang berdiri tercegat di tepi keretanya. Boleh marah – marah aku, selamat lah tu maknanya. Kemudian dia terus masuk ke dalam keretanya dan terus memandu laju.

Dengan pantas Seri Qaisarah dan Amoi terus mengelak ke tepi sedikit. Mereka berdua terkedu sebentar dengan tindakan lelaki itu. Tanpa sebarang kata maaf, dia terus berambus macam tu je! Desis hati Seri Qaisarah sambil matanya merenung tajam melihat kereta lelaki itu berlalu pergi dengan pantas lalu hilang dipandangan mata kasarnya.

“Sombong gila! Tunggulah kau esok. Tunggu!” marah Seri Qaisarah geram.
“Kita kenakan dia esok nak? bila dia datang ke restoran kita. Tak puas hati aku dengan lelaki macam tu. Betullah cakap kau, dia tak ada bahasa.” Amoi menyokong kata – kata Seri Qaisarah.

Seri Qaisarah tersenyum. Dia sudah memikirkan agenda yang harus dia lakukan kelak. Dia terus menarik tangan Amoi mengajak pulang ke rumah sewa mereka.

Setibanya di rumah, Seri Qaisarah terpandangkan bungkusan baju kemeja yang dibelinya tadi. Dia mengambil dan membelek – belek kemeja tersebut. Cantik, kemas dan memang segak kalau lelaki tu yang memakainya, bisik hati Seri Qaisarah.

“Apa aku nak buat dengan baju ni?” Seri Qaisarah mengomel sendirian di biliknya.
“Ahh! Simpan je lah. Satu hari nanti, bila kau dah baik dengan aku, baru aku berikan pada kau ye.” Ngomel Seri Qaisarah lagi.

Setelah seharian dia kepenatan bersiar – siar dengan peristiwa yang tidak di duga berlaku, dia berfikir tentang lelaki misteri itu. Kenapa dia bersikap dingin dengan perempuan? Kenapa dia macam tu ye? Adakah kerana dia sudah berpunya, maka dia tidak akan bercakap dengan perempuan lain? Atau dia ada peristiwa hitam yang menjadikan hatinya dingin beku? Atau dia…tak ada nafsu dengan perempuan? Oppss! Tak mungkin…Seri Qaisarah tersenyum sendirian lantas tertidur keletihan.

Saturday, 12 November 2011

Puteri Tasik Cinta Ku ~ [1]

       Suasana di Restoran Impian Puteri yang terletak berhampiran dengan Tasik Puteri di Bangi begitu meriah sekali. Sambutan hari lahir bagi sepasang kekasih di restoran itu menarik perhatian pelanggan – pelanggan yang turut berada di situ. Tidak tertinggal juga, Aidil Iskandar turut memerhati pengalaman indah sepasang kekasih itu.

Matanya merenung sayup keasyikkan pasangan yang bermadu kasih di tasik yang berhias pelbagai warna lampu neon. Nafasnya di hembus perlahan dituruti dengan keluhan. Ramai juga pasangan kekasih mahupun suami isteri yang bertandang di situ bagi menyambut hari – hari istimewa mereka. Ada juga yang datang sekadar bertemu janji bagi pasangan yang bercinta. Aidil Iskandar hanya tersenyum sendirian. Suatu masa dulu, aku pernah lalui saat – saat begitu... 

Masih segar di ingatan kehidupannya masa lalu walaupun kenangan itu di mamah usia tujuh tahun yang lalu. Semuanya indah masa dulu, tapi pudar dan hilang keindahan itu hanya kerana harta dan kejatuhan. Kenangan yang indah itu jugalah yang menyakitkan hatinya dan menjadi pengalaman hitam dalam hidupnya. Tak mungkin aku menerima untuk sekali lagi…

“Woi! Termenung jauh nampak bro.”sergah Izhan Teo dari belakang Aidil Iskandar.
Mahu gugur jantung aku dibuatnya, gumam hati Aidil Iskandar.
“Kau dah lama menganut agama Islam?,”itu soalan yang terpacul dari mulut Aidil Iskandar.
“Dah. Kenapa?Mak bapak aku Islam lah, walaupun bapak aku tu orang cina.” Izhan Teo sudah pun duduk berhadapan dengan Aidil Iskandar.
“Kalau dah tahu kau tu beragama Islam. Tak pandai beri salam ke?,”
“Assalamualaikum. Maaf lah ya. Mengganggu.” Izhan Teo tersengih – sengih bila di bahasakan Aidil Iskandar begitu.

Pelayan di restoran itu menghantar makanan yang di pesan Izhan Teo, spaghetti dan oren jus. Aidil Iskandar hanya memandang rakannya yang baru sahaja hendak menikmati makan malam mereka.
“Jemput makan, Dil. Kau dah makan ke?”tanya Izhan Teo berbahasa basi menjemput sahabatnya.
“Aku dah makan. Makanlah.” Balas Aidil Iskandar sambil merenung ke luar melihat keindahan tasik.
“Aku perhatikan dari tadi, kau asyik termenung je. Kenapa?”
“Tak ada apa lah, Han.Makan je lah kau tu.”
“Eh, mana boleh. Sebagai kawan, kita kena ambil tahu hal kawan kita. Kata friendship.”
“Kau nak ambil tahu ke atau kau nak menyibuk?” Aidil Iskandar tersenyum melihat cara Izhan Teo yang memang suka ambil berat tentang dirinya.
“Ishh,sampai hati kau.Aku ambil berat lah walaupun a.k.a menyibuk bagi kau,kan. Apasal termenung? “
“Tak adalah. Aku tengok tu hah. Orang sambut birthday party tu. Meriah sungguh.”
Izhan Teo menoleh ke belakang memandang pasangan yang bersuap – suapan meraikan hari lahir pasangannya. Dia hanya tersenyum. Dia tahu,apa yang difikirkan sahabatnya kala itu.
“Aku tahu kenapa kau termenung, Dil”balas Izhan Teo pendek.
“Apa?,”
“Ala..kau tak boleh lupa masa silam kau,kan?Nama di atas kertas mungkin dapat di padam, tapi tak mungkin kenangan di dalam kotak fikiran,Dil.”

Aidil Iskandar hanya mengeluh. Di tarik nafasnya panjang lalu dihembuskan perlahan.

“Hmm..luka aku berparut. Tapi,apa yang pasti, aku tak mungkin bercinta lagi. Cukuplah cinta menderitakan aku.” Ulas Aidil Iskandar akan kisah lampaunya.
“Sampai bila kau tak nak bercinta? Kita makin tua Dil. Sekarang kau dah berumur 32tahun. Ada anak? Ada yang jaga kau kelak bila kau sakit? Kita sebaya tapi sekarang aku dah ada seorang anak.”
“ Alah, baru seorang anak dah bising membebelkan aku.”balas Aidil Iskandar.
“Eh, baru seorang kau cakap? Coming soon lagi seorang tau.”
Ternganga mulut Aidil Iskandar. Tapi, tidak hairanlah. Izhan Teo beristeri muda dua tahun darinya. Mereka kahwin pun lambat juga. Alhamdulillah, tambah lagi seorang.
“Syukurlah, Alhamdulillah. Aku dapat lagi seorang anak buah.”balas Aidil Iskandar gembira.
“Asyik kau je dapat anak buah. Aku ni bila? Cuba kau kesian sikit kat aku yang ngidam nak anak buah dari kau ni.”
“Anak kau tu anak buah kau lah,kan”Aidil Iskandar memberikan senyuman sinis.
“Cet! Double meaning kau ea. Itu anak aku, bukan anak buah aku.”
Aidil Iskandar tergelak besar.
“Mana aku ada double meaning bro. Betullah aku cakap. Anak kau tu anak aku. Bukan ke kau tolong jaga kan anak aku tu. Kira sebagai anak buah kau lah tu. Kau yang fikir bukan – bukan bro.”

Izhan Teo tergelak melihat Aidil Iskandar yang cuba menafikan ayat sendiri.

“Wo..wo..senang kau nak cop anak aku tu anak kau. Nak dapat susah bro.”
Mereka masing – masing tergelak dengan mainan kata – kata mereka yang terselit maksud yang tersirat. Tanpa mereka sedar, sepasang mata memerhatikan gelagat mereka berdua.

Begitulah kehidupan lelaki agaknya. Anak bini di rumah, mereka hidup bersuka ria dengan kawan – kawan. Paling aku benci lelaki yang lupakan anak bini di rumah menunggu kepulangan mereka. Tapi, rasanya yang seorang lagi tu tak kahwin lagi. Yang lagi seorang tu, nampak sangat dah berkahwin jika di lihat dari segi perutnya yang sedikit maju ke depan.

Puk! Satu tamparan di bahu Seri Qaisarah yang khusyuk memerhatikan dua orang lelaki yang menjadi pelanggan tetap di restoran itu.

“Sakitlah wei…Kau ingat, aku ni tulang je,tak sakit ke kena tepuk dengan tangan gebu kau tu.” Seri Qaisarah geram dengan Amoi. Nama sebenar Amoi adalah NurMalis. Tapi, disebabkan dirinya yang seperti orang cina dan juga tembam, muncullah nama panggilan Amoi.

“Kau mesti perhatikan dua orang lelaki tu kan. Tu yang saja aku tepuk biar kau kembali ke alam realiti.” Amoi mengkekek – kekek tertawakan Seri Qaisarah yang terperanjat.

“Nasib baik aku tak kembali ke rahmatullah tau!”

Seri Qaisarah terus mencubit – cubit badan dan lengan Amoi yang gempal itu. Terjerit – jerit dia kesakitan. Pantasnya tangan Seri Qaisarah memang tidak dapat di tepis.

Mata Izhan Teo terus tertarik melihat dua orang pelayan di restoran itu yang sedang bergurau senda. Izhan Teo hanya tersenyum melihat gadis itu.

“Dil,kau tahu tak yang kau ni ada peminat?” Izhan Teo perasan akan gadis yang melihat setiap kali mereka di situ.

“ Hmm…aku tak nak tahu lah.” Jawapan yang disangka akan keluar dari mulut Aidil Iskandar.
“Alah kau ni. Budak perempuan ni, memang selalu perhatikan kau setiap kali kau datang ke sini. Aku dah lama perasan akan budak ni.” Tambah Izhan Teo lagi sambil menyedut minuman jus orennya.
“Aku tahu. Biarlah. Tak minat. Kau dah ke belum ni? Kalau dah minta bil lah.”
Izhan mengangguk dan terus memanggil pelayan yang dimaksudkan meminta bil. Kebetulan Seri Qaisarah yang berada di kaunter itu dan ternampak rakan kepada pelanggan yang di gemarinya memanggil meminta bil.
Lantas Seri Qaisarah mencapai bil dan terus berlalu ke arah meja pelanggan bernombor 11. Untung aku malam ni.

Ini lah pertama kali, aku dapat melihatnya dengan dekat. Bisik hati Seri Qaisarah.

“Ini bil nya encik. Semuanya RM52.50.”Seri Qaisarah memberikan senyuman kepada Izhan Teo. Memang itu yang semestinya diberikan kepada pelanggan seperti yang tertera dalam piagam pelanggan.

Sempat lagi mata Seri Qaisarah menjeling melihat lelaki yang selalu termenung sendirian itu. Nampak sombong bongkak pulak lah dia ni. Berpenyakit hati ni, bisik hati Seri Qaisarah.

“Terima kasih Encik. Sila datang lagi.” Seri Qaisarah menunduk seperti gaya orang Jepun menyambut dan menghantar tetamu.

Izhan Teo dan Aidil Iskandar lantas bangun dan terus berlalu pergi keluar dari restoran itu.
Seri Qaisarah hanya menghantar lelaki itu dengan ekoran matanya sambil dia melangkah kaki ke kaunter pembayaran.

“Dah, dah la tu. Orang kaya macam tu, tak kan dia pandangnya perempuan yang kerja macam kita,” Amoi bersuara menyergah Seri Qaisarah yang merenung jauh ke luar sana.
“Ishh…tak baik tau kau cakap macam tu. Mana ada semua orang kaya macam tu.” Balas Seri Qaisarah sambil menyerahkan duit kepada Amoi agar dimasukkan ke dalam mesin duit.
“Alah. Dari segi gaya dan pandangannya pun aku boleh baca lah. Boleh tak, kau tak payah nak main hati dengan lelaki – lelaki macam tu.” Amoi mulakan siaran ceramahnya.
“Aku tak main hati lah. Aku cuma tengok lelaki tu macam ada penyakit.”
“Hah? Penyakit? Lelaki yang mana satu? Baju kemeja biru muda ke baju kemeja putih jalur-jalur hitam?”
“Lelaki baju kemeja putih jalur-jalur hitam. Berpenyakit dia tu.”
“Iya? Penyakit apa Seri?” Amoi beriya ingin tahu.
“Penyakit hati. Macam sombong. Hati kering. Patut kena hantar hospital dia tu.”
Amoi tergelak – gelak mendengar kata – kata Seri Qaisarah. Pada awalnya , disangkakan dia membantah sungguh dengan pendapat aku, rupa nya tidak. Seri…Seri…
“Kawan dia tu, nak lah jugak senyum. Tapi, dia? Pandang aku sekenyit mata pun tidak.” Jawab Seri Qaisarah geram.
“Apa Seri? Sekenyit mata? Hahaha…”tergelak besar Amoi mendengar ayat gubahan Seri Qaisarah yang sepontan itu.
“Iya lah? Bukan nak kata sebelah mata, sekenyit mata pun tidak. Memang berpenyakit dia ni. Sebab tu, datang sini asyik melayan jiwa termenung ke tasik je kerjanya.” Rungut Seri Qaisarah lagi.
Amoi tak berhenti tergelak – gelak mendengar rungutan sahabatnya itu. Seri Qaisarah kalau berbicara memang tidak dapat di jangka. Itu lah dia, bila doktor bertukar kerjaya. Mereng.

“Mulai hari ini, aku nama kan dia Mr. AJK.” Seri Qaisarah tersenyum sambil mengelap alas meja makan yang berhampiran.
“Mr. AJK? Kenapa? Apa tu?” Amoi memandang Seri Qaisarah.
“Mr. AJK tu Mr. Ahli Jiwa Kacau.”
Amoi mengangguk – angguk setuju. Seri Qaisarah tersenyum walaupun hatinya penuh tanda tanya.

Apa masalah lelaki tu ye? Selalu termenung. Kadang – kadang perhatikan muka dia nampak sugul dan sayu. Kadang – kadang nampak muka dia macam tak berhati perasaan. Tapi, kadang – kadang nampak muka dia sombong tak bertempat. Kenapa ye?

Tadi aku perhatikan dia, nampak macam bersedih hati. Tiba – tiba, muka berubah jadi sombong dan bongkak gayanya. Betullah, kena hantar ‘repair’ hati dia ni. Seri Qaisarah mengomel sendirian sambil sempurnakan segala kerjanya hari ni.

Selepas jam 12 malam, barulah restoran itu tutup dan akan beroperasi semula pada keesokkan harinya.  Seri Qaisarah pulang bersama teman baiknya dan juga merangkap teman serumahnya, Amoi untuk pulang ke rumah.